Isnin, 20 Mei 2013

Soalan Asas

Tujuan kemasukan log kali ini adalah berkenaan perkara-perkara asas. Banyak soalan diluar mengenai perkara asas, saya fikir lebih baik saya cuba sediakan ringkasan kepada soalan-soalan tersebut. Jawapan ini adalah pandangan saya mengenai hal 3d printing, kalau ada yang tidak tepat, bolehlah komen kepada log ini. Terima kasih dan selamat membaca.

1) Berapa harga untuk satu set 3d printer?



Soalan paling popular. Jawapan terus harganya ialah diantara RM 1,500 hingga RM 6,000. Mengapa harga ini ada julat? Jawapannya (1) harga bergantung kepada jenis printer, maksud jenis printer ini adalah model printer yang dibangunkan (2) harga juga bergantung kepada kesediaan printer, maksudnya dalam bentuk kit atau yang telah siap pasang sepenuhnya, ya harganya berbeza (3) pertukaran matawang asing, biasanya adalah antara RM dan USD. Ini kerana kebanyakan komponen-komponen yang digunakan perlu diimport daripada US, China, Singapore atau mana-mana negara yang menghasilkan komponen yang dikehendaki. Salah satu cara untuk menjimatkan kos adalah untuk membeli komponen-komponen yang kesemuanya dikilangkan di Malaysia. Tetapi ini adalah sukar, kerana ada sesetengah kilang-kilang ini tidak jual terus kepada individu.

Secara ringkasnya, kalau beli komponen secara berasingan dan dalam keadaan yang tidak dipasang siap, harga mungkin lebih rendah sekiranya komponen yang dibeli adalah betul. Kadang-kadang, kerana keasyikan untuk mencari harga komponen yang rendah harganya, komponen yang dibeli tidak sesuai, maka terpaksalah membeli komponen yang baru. Ini secara tidak langsung meningkatkan kos, tetapi, kita akan belajar mana komponen-komponen ini boleh didapatkan dan ini mengurangkan kebergantungan kepada orang lain.

Jenis komponen juga memainkan peranan dalam harga. Anda boleh membeli komponen plastik yang dicetak atau komponen yang dimesin menggunakan aluminium. Harga berbeza tapi fungsi yang sama.

So bila membeli nanti, ikutlah bajet anda sendiri. Kalau ada tempat yang jual komponen murah, bolehlah kongsikan disini agar lebih ramai dapat membina printer yang mereka idamkan.

2) Kit atau Siap Pasang, mana lebih baik?



Pada pandangan saya, baiklah membeli kit, atau lebih baik cuba mencari komponen satu per satu. Perlu ingat printer yang dibina adalah opensource, maksudnya ianya tidaklah begitu stabil seperti mana 3d printer professional. Harga yang jauh lebih murah bermaksud akan berlaku banyak insiden dimana printer akan bertindak diluar jangkaan sekiranya berlaku kesilapan pada komponen hardware, mahupun software. Sekiranya anda membeli kit 3d printer, anda akan belajar lebih mengenai komponen-komponen yang digunakan untuk menggerakkan 3d printer. Memang pilihan ini (membeli kit dan memasang sendiri) adalah lebih sukar, tetapi ia akan membolehkan anda memahami komponen yang bermasalah pada kemudian hari. Sekiranya anda membeli printer yang telah siap pasang sepenuhnya, kebarangkalian anda berasa takut untuk membaiki printer ini sendiri adalah tinggi. Akhirnya, anda akan berasa murung mengapa printer anda tidak berfungsi dengan baik.

Bak kata pepatah melayu "bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian".

Jangan risau, membina printer ini tidaklah begitu sukar. Kalau pandai pasang perabot IKEA, maka pasang printer ini tidaklah begitu sukar.

3) Berapa lama masa yang diambil untuk memasang 3d printer?

Pengalaman pertama saya membina 3d printer, masa memasang agak lama kerana komponen-komponen yang saya order banyak yang lambat sampai. Oleh itu masa memasang boleh jadi diantara 1 hingga 3 minggu. Bagi komponen yang semuanya sudah lengkap, termasuklah anda sendiri ada pengalaman dalam bidang elektronik (soldering), memasang printer ini tidaklah begitu sukar. Saya rasa satu hari suntuk, mencukupi untuk membina printer dari komponen-komponen sehinggalah berjaya untuk print objek yang pertama. Lepas itu bolehlah tidur kerana kepenatan. Oh ya, jangan lupa mandi dahulu sebelum tidur untuk menjaga keselesaan orang lain.

4) Bro aku dah siap pasang 3d printer ni, kenapa print aku tak cantik?

Sebenarnya banyak sangat sebab yang menyebabkan kualiti print tidak cantik. Pada pandangan aku, punca utama aku hadapi masalah kualiti print yang tidak baik adalah seperti berikut :



  • Pemasangan komponen yang tidak kemas : perkara yang paling mudah berlaku apabila siap pasang komponen-komponen dan printer mula digunakan adalah skru-skru yang memegang komponen ini boleh longgar disebabkan oleh getaran. Oleh itu, biasanya aku akan periksa dahulu komponen-komponen, pastikan ikatannya kemas kemudian aku akan periksa komponen softwarenya pula.
  • Setting pada software : boleh dikatakan pada peringkat awal, printer ini perlu di calibrate terlebih dahulu. Proses calibrate ini memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana anda perlu memastikan ukuran-ukuran pergerakan (x,y,z axis) mengikut ukuran yang tepat. Sekiranya ukuran tersebut lari. Contoh : tekan button pergerakkan pada x axis sebanyak 100mm pada komputer, pergerakan sebenar pada printer 105mm. Maka ini akan menyebabkan kualiti objek yang dicetak tidak baik. Ukur dan ukur semula sehingga ketepatan 0.05mm untuk memastikan pergerakan yang tepat. Perubahan-perubahan kepada setting ini hendaklah dibuat pada firmware. Beberapa video yang dapat membantu dalam proses ini seperti di sini.
  • Pergerakkan printer terlalu laju. Lazimnya, apabila install software, pergerakan default printer (travel speed) adalah pada 100mm/s. Pergerakan ini agak laju bagi printer baru disiap pasang. Rod stainless steel masih belum begitu licin untuk bergerak laju. Eloklah diturunkan kepada 40mm/s untuk beberapa hari dan kelajuannya boleh ditambah 10mm/s sehingga printer tersebut gagal. Berikan sedikit masa untuk printer anda season, khususnya kepada rod-rod dan linear bearing. Lepas tu cubalah henjut sehingga 160mm/s.

Ok cukuplah dahulu penjelasan setakat ini. Sekiranya ada lagi soalan yang bermain difikiran, gunakanlah ruang komen di bawah untuk bertanya soalan. Tanyalah apa sahaja. 

Selamat membina :-)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan